Insentif Cukai Melalui Perkhidmatan Akreditasi
Kerajaan telah menawarkan insentif cukai melalui perkhidmatan akreditasi dalam bentuk potongan cukai kepada badan penilaian pematuhan seperti makmal, badan pensijilan dan badan pemeriksa yang mendapat akreditasi daripada Jabatan Standard Malaysia (JSM). Manakala, syarikat-syarikat yang mempunyai pensijilan atau perakuan kualiti standard dan Halal boleh menikmati potongan cukai tersebut.
Insentif cukai tersebut telah dinyatakan dalam Garis Panduan Potongan Perbelanjaan di Bawah Perenggan 34(6)(m) dan 34(6)(ma) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi maksud pengiraan cukai pendapatan terkini yang diterbitkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 30 Disember 2025. Garis Panduan terkini ini merangkumi program pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) berdasarkan Standard MS ISO 37001 di bawah Skim Akreditasi Badan-Badan Pensijilan (ACB).
Garis Panduan ini menerangkan kriteria kelayakan, perbelanjaan yang dibenarkan dan pengiraan cukai pendapatan bagi perbelanjaan yang dilakukan untuk mendapatkan:
(i) sijil akreditasi yang dikeluarkan oleh JSM; dan
(ii) sijil perakuan sistem kualiti dan standard serta sijil Halal yang dikeluarkan oleh Badan Pensijilan yang diakredit oleh JSM.
Di bawah perenggan 34(6)(ma), Akta Cukai Pendapatan 1967, syarikat layak menuntut potongan dua kali bagi perbelanjaan yang dilakukan bagi tujuan mendapatkan pensijilan bagi sistem pengurusan kualiti, Standard dan Halal daripada Badan Pensijilan yang mendapat akreditasi JSM seperti yang ditentukan oleh Menteri Kewangan.
Di bawah perenggan 34(6)(m), Akta Cukai Pendapatan 1967, syarikat layak menuntut potongan cukai (sekali) bagi perbelanjaan yang dilakukan untuk mendapatkan akreditasi daripada JSM.
Tuntutan potongan cukai hendaklah dilaksanakan dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi tahun taksiran berkenaan dan dibuktikan dengan sijil perakuan yang diperoleh daripada JSM atau Badan Pensijilan yang diakredit oleh JSM. Sijil dan dokumen berkaitan seperti resit bayaran bagi tujuan tuntutan potongan cukai hendaklah disimpan dengan baik oleh syarikat sebagai bukti pengisytiharan mereka kepada LHDNM.