PENDAHULUAN
Jabatan Standard Malaysia (JSM) merupakan Badan Standard dan Akreditasi Kebangsaan seperti yang termaktub dalam Akta Standard Malaysia 1996 [Akta 549]. JSM bertanggungjawab dalam pembangunan dokumen Malaysian Standard (MS) dan mempromosikan penggunaannya. Selain itu, JSM memberikan pengiktirafan akreditasi kepada badan-badan penilaian pematuhan seperti makmal, badan pensijilan, badan pemeriksa, fasiliti kajian dan badan pengujian kecekapan berdasarkan keperluan standard antarabangsa.
JSM telah menerbitkan MS ISO 37001:2016 Anti-bribery management systems (ABMS) requirements with guidance for use (ISO 37001:2016, IDT) pada tahun 2016. Standard ini menggariskan keperluan dan memberi panduan kepada organisasi untuk melaksanakan dan menambahbaik sistem pengurusan antirasuah dalam organisasi tersebut bagi menangani gejala rasuah. Standard ini juga menetapkan sistem kawalan dalaman sesebuah organisasi bagi mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan.
Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 telah dilancarkan pada 29 Januari 2019. Salah satu inisiatif yang terkandung dalam NACP adalah berkenaan Pensijilan ABMS. Inisiatif 2.1.3 ini menyatakan “memperkenalkan Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001 di semua agensi Kerajaan”. JSM merupakan agensi peneraju bagi Inisiatif ini di samping Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).
PELAPORAN HASIL DAPATAN YANG DIPEROLEHI
PERKHIDMATAN AKREDITASI
JSM telah membangunkan dan melancarkan program ABMS pada 3 Januari 2019 di bawah Skim Akreditasi Badan Pensijilan (ACB). Badan pensijilan yang memohon ABMS perlu mematuhi keperluan kriteria akreditasi seperti berikut:-
1. ISO/IEC 17021-1 - Conformity assessment -- Requirements for bodies providing audit and certification of management systems -- Part 1: Requirements;
2. ISO/IEC 17021-9 - Conformity assessment -- Requirements for bodies providing audit and certification of management systems -- Part 9: Competence requirements for auditing and certification of anti-bribery management systems; dan
3. Keperluan Pemilik Skim iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Requirements for the Accreditation of Certification Bodies under the Anti-Bribery Management System (ABMS) Scheme.
Sehingga bulan Ogos 2023, sebanyak lima (5) badan pensijilan telah diakredit bagi program ABMS dan sebanyak lima (5) badan pensijilan telah memohon program ABMS seperti dalam Jadual 1 di bawah. Senarai nama badan pensijilan yang diakredit bagi program ABMS adalah seperti berikut:
Bil. | Nama Badan Pensijilan | Nombor Akreditasi | Tarikh diakredit |
1. | SIRIM QAS International Sdn. Bhd. | ACB 001 | 21 Ogos 2019 |
2. | United Certifications Services Sdn. Bhd. | ACB 043 | 30 November 2021 |
3. | NIOSH Certification Sdn. Bhd. | ACB 023 | 25 Januari 2022 |
4. | Trans Certification International Sdn. Bhd. | ACB 041 | 23 Februari 2022 |
5. | BSI Services Malaysia Sdn. Bhd. | ACB 022 | 7 Disember 2022 |
Merujuk kepada Jadual 1 di bawah, terdapat peningkatan bilangan badan pensijilan yang diakredit oleh JSM daripada tahun 2019 sehingga 2023. Peningkatan bilangan badan pensijilan tersebut menunjukkan perkembangan positif bagi membolehkan agensi Kerajaan dan syarikat swasta mempunyai pilihan dan mempercepatkan proses untuk mendapatkan pensijilan ABMS.
Jadual 1: Bilangan Badan Pensijilan yang Diakredit Bagi Program ABMS Mengikut Tahun
Bil. | Tahun | Bilangan Badan Pensijilan |
1. | 2019 | 1 |
2. | 2020 | 0 |
3. | 2021 | 1 |
4. | 2022 | 3 |
5. | 2023 | 0 |
Jumlah | 5 |
SENARAI SEMINAR/TAKLIMAT/BENGKEL KESEDARAN KEPERLUAN STANDARD ABMS
Sepanjang tahun 2019 sehingga 2023, sembilan (9) seminar/taklimat/bengkel telah diadakan bagi mempromosikan dan memberi kesedaran berkaitan keperluan-keperluan dalam standard ABMS seperti berikut:
- Sesi Taklimat Pengenalan dan Pelaksanaan MS ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Antirasuah) kepada Ketua-Ketua Unit Integriti Sektor Awam Siri 1 Tahun 2019 telah diadakan pada 17 Mei 2019 bertempat di Auditorium, Ibu Pejabat SPRM.
- Seminar Kesedaran ABMS Bil. 1/2019 telah diadakan pada 26 November 2019 di Hatten Hotel, Melaka yang dihadiri oleh sebanyak 40 orang peserta dari sektor swasta dan agensi Kerajaan. Sebanyak 27 orang daripada 11 agensi Kerajaan telah hadir ke seminar tersebut.
- Bengkel MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management System kepada semua Ketua Integriti di setiap agensi Kerajaan telah diadakan pada 3 - 4 Mac 2020. Sebanyak 39 orang wakil dari agensi Kerajaan telah hadir ke bengkel ini.
- Taklimat MS ISO 37001:2016 – Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) pada 24 September 2020 di Bahagian Perolehan Kerajaan, Kementerian Kewangan Malaysia.
- Taklimat Pensijilan MS ISO 37001 Anti-Bribery Management System (ABMS) kepada Jabatan/ Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 27 April 2021.
- Taklimat Peranan Dan Tanggungjawab Pengurusan Tertinggi Dalam Memastikan Pelaksanaan ABMS dalam Mesyuarat Pengurusan Tertinggi ICU, JPM pada 5 Mei 2021.
- Taklimat mengenai ABMS dalam Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah JAKIM Bil. 3/2021 telah diadakan pada 7 Disember 2021.
- Perbincangan Mengenai Pembangunan ABMS Peringkat Kementerian Belia Sukan (KBS) telah diadakan pada 13 Januari 2022.
- Perbincangan ABMS dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan pada 23 November 2022.
AGENSI KERAJAAN YANG MENDAPAT KHIDMAT KONSULTASI DAN LATIHAN DARIPADA INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA
Institut Integriti Malaysia (IIM) turut terlibat dalam memberikan khidmat konsultasi dan latihan kepada agensi Kerajaan dalam membangunkan dokumentasi bagi memenuhi keperluan dalam standard ABMS. Agensi Kerajaan tersebut akan dipersiapkan sehingga ke peringkat audit bagi mendapatkan pensijilan ABMS. Berikut adalah bilangan agensi Kerajaan yang telah mendapatkan khidmat konsultasi dan latihan ABMS dengan IIM dari tahun 2019 – 2023.
Jadual 2: Bilangan Agensi Kerajaan Yang Mendapat Khidmat Konsultasi Dan Latihan ABMS Daripada Tahun 2019 - 2023
Bil. |
Tahun |
Bilangan Agensi Kerajaan |
1. |
2019 |
9 |
2. |
2020 |
0 |
3. |
2021 |
1 |
4. |
2022 |
1 |
5. |
2023 |
1 |
Jumlah |
12
|
AGENSI KERAJAAN YANG DIPERSIJILKAN ABMS
Sebagai Badan Akreditasi Kebangsaan, JSM mempunyai obligasi untuk memantau prestasi badan pensijilan yang diakredit dengan memperolehi laporan status aktiviti pensijilan di bawah akreditasi JSM setiap bulan.
Jadual 3: Bilangan Agensi Kerajaan Yang Dipersijilkan ABMS Mengikut Tahun
Bil. |
Tahun |
Bilangan Agensi Kerajaan Dipersijilkan ABMS |
1. |
2017 |
7 |
2. |
2018 |
1 |
3. |
2019 |
15 |
4. |
2020 |
7 |
5. |
2021 |
16 |
6. |
2022 |
15 |
7. |
2023 |
8 |
Jumlah |
69
|
Berdasarkan semakan laporan tersebut, bilangan agensi Kerajaan yang dipersijilkan ABMS semakin meningkat setiap tahun merujuk Jadual 3 dan Graf 2 di atas. Sehingga 31 Julai 2023, jumlah agensi Kerajaan yang mendapat pensijilan ABMS adalah sebanyak 69 agensi Kerajaan.
Jadual 4: Status Agensi Kerajaan yang dipersijilkan ABMS
Bil |
Status Agensi Kerajaan |
Bilangan Dipersijilkan ABMS |
1 |
Kerajaan Persekutuan |
19 |
2 |
Kerajaan Negeri |
11 |
3 |
Pihak Berkuasa Tempatan |
17 |
4 |
Badan Berkanun Persekutuan |
9 |
5 |
Badan Berkanun Negeri |
13 |
Jumlah |
69 |
Berdasarkan Jadual 4 di atas, Kerajaan Persekutuan merupakan agensi Kerajaan yang tertinggi dipersijilkan ABMS diikuti dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Badan Berkanun Negeri, Kerajaan Negeri dan Badan Berkanun Persekutuan. Ini menunjukkan komitmen dan kesedaran mengenai keperluan ABMS amat baik dengan komitmen berterusan dari Pihak Pengurusan Tertinggi bagi mencegah, menangani dan mengawal gejala rasuah di organisasi masing-masing.
MASALAH DAN CABARAN YANG DIHADAPI
Ketua Setiausaha Negara melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Antirasuah (JAR) Peringkat Kebangsaan Siri 6 Bilangan 2 Tahun 2021 bertarikh 27 Julai 2021 telah memutuskan bahawa pelaksanaan ABMS adalah seharusnya bersifat voluntary mengikut kemampuan kewangan agensi masing-masing.
Berdasarkan perbincangan dengan agensi-agensi Kerajaan yang berkaitan, antara masalah dan cabaran yang dihadapi oleh agensi Kerajaan yang ingin mendapatkan pensijilan ABMS adalah seperti berikut:-
- Komitmen Pengurusan Tertinggi lebih menumpukan kepada aktiviti organisasi berbanding pensijilan ABMS disebabkan tiada peruntukan khusus pensijilan ABMS;
- Peruntukan agensi Kerajaan tidak mencukupi untuk menampung kos pensijilan ABMS;
- Kekurangan kakitangan terlatih terhadap keperluan dan pelaksanaan pensijilan ABMS;
- Kos perundingan ABMS yang tinggi;
- Kos latihan ABMS yang tinggi;
- Bilangan badan pensijilan yang diakredit terhad menyebabkan permohonan pensijilan ABMS lambat diuruskan;
- Kakitangan sukar memahami keperluan standard ABMS; dan
- OACP dan kawalan dalaman sedia ada adalah mencukupi dalam menangani rasuah di organisasi.
Bagi pelaksanaan inisiatif ini, JSM juga menghadapi masalah untuk melaksanakan seminar/bengkel/taklimat disebabkan kekangan pegawai, ketiadaan peruntukan yang mencukupi khusus untuk ABMS dan komitmen terhadap aktiviti fungsi utama Jabatan. Selain itu, tempoh pelaksanaan inisiatif ini semasa Malaysia dilanda pandemik COVID-19.
STRATEGI UNTUK MENANGANI MASALAH DAN MENCAPAI KEBERHASILAN (OUTCOME)
JSM amat komited untuk memantau aktiviti pensijilan ABMS bagi badan pensijilan yang diakredit bagi program ABMS berdasarkan keperluan ACB, SPRM dan amalan standard antarabangsa. JSM juga memastikan badan pensijilan berstatus pemohon bagi program ABMS mendapat akreditasi bagi menampung permintaan pensijilan ABMS. Ini bagi menyelesaikan isu bilangan badan pensijilan yang diakredit terhad menyebabkan permohonan pensijilan ABMS lambat diuruskan.
Berdasarkan pemerhatian, pelaksanaan program kesedaran ABMS juga telah diambilkira oleh setiap agensi Kerajaan berkaitan yang merupakan sebahagian dari inisiatif (tindakan dalaman) dalam Pelan Antirasuah Organisasi (OACP). Agensi Kerajaan perlu membangunkan dan melaksanakan sistem pengurusan mereka supaya selaras dengan keperluan ABMS seperti berikut:
a) merangka dasar antirasuah organisasi,
b) merangka objektif antirasuah organisasi,
c) keperluan latihan berkaitan ABMS,
d) semakan pengurusan risiko rasuah secara berkala,
e) mengkoordinasi komunikasi berkaitan sistem pengurusan antirasuah sama ada dalaman dan luaran,
f) merangka dasar penerimaan hadiah,
g) merangka prosedur pelaporan kes rasuah,
h) merangka prosedur bagi menyokong sistem pengurusan antirasuah,
i) mengkoordinasi audit dalaman secara berkala,
j) mengkoordinasi top management review, dan
k) keperluan ABMS yang berkaitan.
JSM sentiasa mengalu-alukan mana-mana agensi Kerajaan yang ingin mendapatkan penerangan atau perbincangan berkenaan keperluan standard ABMS sama ada secara fizikal atau dalam talian. JSM telah melaksanakan taklimat/bengkel berkaitan ABMS secara dalam talian semasa dalam tempoh pandemik COVID-19. Beberapa siri perbincangan turut diadakan secara bersemuka dengan pihak KBS dan PDRM.
Selain itu, JSM ingin mencadangkan supaya agensi Kerajaan yang terdedah dengan risiko rasuah yang tinggi diberikan penekanan untuk mendapatkan pensijilan ABMS. Kementerian Kewangan Malaysia juga disarankan agar memberikan peruntukan kepada agensi Kerajaan tersebut bagi mendapatkan pensijilan ABMS.
PENUTUP
Kesimpulannya, pelaksanaan Inisiatif 2.1.3 - Memperkenalkan Anti-Bribery Management System (ABMS) MS ISO 37001 di semua agensi Kerajaan dapat membantu mempromosikan penggunaan standard ABMS. Selain itu, agensi Kerajaan yang dipersijilkan ABMS dapat melaksanakan dan menambahbaik sistem pengurusan antirasuah dalam organisasi tersebut bagi menangani gejala rasuah. Selain itu, sistem kawalan dalaman agensi Kerajaan tersebut dapat mengesan, mencegah, mengendalikan, menguatkuasa, menilai serta menambahbaik langkah pengurusan antirasuah secara berkesan.