Berdasarkan laporan Corruption Perceptions Index (CPI) 2025 yang dikeluarkan oleh Transparency International Malaysia, Malaysia telah menunjukkan peningkatan apabila berada pada kedudukan ke-54 daripada 182 negara dengan skor 52 mata, berbanding kedudukan ke-57 dengan skor 50 mata pada tahun sebelumnya. Perkembangan positif ini mencerminkan usaha berterusan negara dalam memperkukuh integriti dan tadbir urus. Kerajaan terus menyasarkan kedudukan 25 teratas menjelang tahun 2033, yang menuntut komitmen menyeluruh daripada Kerajaan, industri serta semua pihak berkepentingan.
Sejajar dengan aspirasi tersebut, Jabatan Standard Malaysia (JSM) sebagai Badan Akreditasi Kebangsaan terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh ekosistem penilaian pematuhan negara. Antara inisiatif utama ialah mempromosikan insentif Kerajaan melalui potongan cukai hasil perkhidmatan Akreditasi, khususnya bagi pensijilan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah atau Anti-Bribery Management System (ABMS).
Bagi memperluas hebahan dan kefahaman industri, JSM dengan kerjasama strategik bersama Federation of Malaysian Manufacturing (FMM) telah menganjurkan program Maximise Your Tax Deduction Via Accreditation pada 11 Februari 2026 di FMM, Kuala Lumpur. Program ini merupakan penganjuran kedua selepas di Sarawak yang mempromosikan kemudahan insentif cukai untuk pensijilan ABMS, susulan penerbitan Garis Panduan Potongan Perbelanjaan di bawah Perenggan 34(6)(m) dan 34(6)(ma) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) pada 30 Disember 2025.


Maximise Your Tax Deduction Via Accreditation pada 11 Februari 2026 di FMM, Kuala Lumpur
Objektif Program
Program ini dianjurkan bagi mempromosikan Standard MS ISO 37001: Anti-Bribery Management System (ABMS) serta insentif cukai yang ditawarkan bagi pensijilan tersebut. Taklimat khusus telah diberikan mengenai Insentif Cukai Melalui Perkhidmatan Akreditasi kepada pemain industri dan badan penilaian pematuhan (Conformity Assessment Bodies – CAB) bagi menggalakkan pematuhan kepada Standard antarabangsa, khususnya ABMS.
Selain itu, sesi turut menampilkan taklimat berkaitan Seksyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meningkatkan kesedaran mengenai liabiliti korporat dan tanggungjawab organisasi dalam mencegah rasuah.
Impak dan Manfaat kepada Industri
Program ini telah berjaya menghimpunkan seramai 131 peserta yang terdiri daripada wakil syarikat swasta, makmal, badan pensijilan dan badan pemeriksa. Kehadiran ini mencerminkan komitmen industri dalam memperkukuh amalan integriti serta memahami manfaat insentif cukai yang disediakan oleh Kerajaan.
Melalui penganjuran program ini, diharapkan syarikat-syarikat dan CAB lebih peka terhadap kewujudan insentif Kerajaan melalui potongan cukai hasil perkhidmatan akreditasi. Gabungan insentif cukai, perkhidmatan akreditasi dan pelaksanaan ABMS mampu mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih berdaya saing, telus dan mampan.
Pensijilan ABMS bukan sekadar memenuhi keperluan Standard, malah mencerminkan komitmen organisasi terhadap pencegahan rasuah, pengurusan risiko dan amalan perniagaan beretika. Pensijilan yang disokong oleh Akreditasi turut meningkatkan keyakinan pelabur, rakan niaga dan pasaran antarabangsa.