Standards

Ulasan Umum

ULASAN UMUM BAGI DRAF MALAYSIAN STANDARDS YANG SEDANG DIBANGUNKAN,
BAGI TEMPOH 1 JUN 2020 HINGGA 31 JULAI 2020

 

Dengan segala hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.

 

Bersama-sama ini disertakan senarai draf Malaysian Standards (MS) yang sedang dibangunkan seperti di Lampiran A dan senarai Malaysian Standard yang disyorkan untuk ditarik balik tanpa gantian seperti di Lampiran B untuk ulasan umum.

 

Draf-draf Malaysian Standards tersebut adalah mengenai pelbagai barangan, proses-proses dan tatasusila amalan dalam pelbagai bidang industri yang dibangunkan di bawah Jawatankuasa Standard Kebangsaan (NSC) di Jabatan Standard Malaysia. Sila klik di Lampiran C untuk Jadual pecahan jumlah draf-draf Malaysian Standards.

 

Penyediaan draf-draf Malaysian Standards tersebut telah dibuat oleh jawatankuasa berkaitan yang ditubuhkan di bawah Sistem Pembangunan Malaysian Standard yang diwakili oleh pihak Kementerian, agensi-agensi Kerajaan, institusi pengajian tinggi, industri dan orang perseorangan yang pakar dalam bidang berkenaan. Sehubungan dengan itu, pihak Jabatan Standard Malaysia mengalu-alukan sebarang ulasan ke atas draf-draf Malaysian Standards tersebut dengan melayari laman sesawang Unified Public Consultation (UPC).

 

UPC merupakan satu portal yang ditubuhkan oleh Kerajaan bagi memudahkan pihak berkepentingan menyediakan konsultasi dalam proses pembangunan undang-undang, perintah, peraturan dan prosedur. UPC menyediakan platform kepada orang awam yang berdaftar dengannya untuk mengakses konsultasi dengan mudah melalui satu laman sesawang sahaja. Dengan platform UPC ini, konsultasi dapat diadakan dengan lebih seragam, berkesan dan cekap.

 

Standards Malaysia juga mengambil inisiatif dengan menyiarkan draf MS bagi tujuan ulasan umum selama 60 hari di laman sesawang UPC. Sila klik Lampiran D untuk Manual Ulasan Umum.

 

Bagi mereka yang bukan ahli bagi mana-mana jawatankuasa pembangunan standard, draf-draf Malaysian Standards yang diterima pakai (adopted) dari standard ISO/IEC, ASTM dan EN boleh diperolehi (dalam bentuk hard copy sahaja) DENGAN bayaran seperti tertera. Tuan/puan boleh membeli draf Malaysian Standards tersebut dengan datang sendiri ke Kaunter Jualan Standard, di Jabatan Standard Malaysia; atau boleh menyemak secara percuma di Perpustakaan Jabatan Standard Malaysia. Selain daripada draf Malaysian Standards yang diterima pakai (adopted), draf Malaysian Standards untuk ulasan umum boleh dimuat turun TANPA bayaran di laman sesawang UPC.

 

Dimaklumkan juga bahawa draf-draf Malaysian Standards tersebut masih dalam peringkat penyediaan dan tertakluk kepada pindaan dan bukan digunakan untuk rujukan rasmi sebagai Malaysian Standards. Memandangkan draf-draf tersebut juga adalah hakcipta organisasi-organisasi yang berkenaan seperti Jabatan Standard Malaysia, ISO/IEC, ASTM dan CEN, tuan/puan adalah dilarang daripada membuat salinan dan mengedarkannya kepada pihak lain.

 

Kami juga berharap untuk mendapat kerjasama daripada pihak tuan/puan agar dapat membuat pautan laman sesawang organisasi tuan/puan kepada laman sesawang kami di www.jsm.gov.my bagi tujuan pemberitahuan kepada ahli pertubuhan dan organisasi tuan/puan.

 

Kerjasama serta sokongan tuan/puan dalam perkara ini diharap akan dapat memajukan lagi aktiviti-aktiviti standardisasi negara kita.

 

Sekian terima kasih.

 

EN. HUSSALMIZZAR HUSSAIN

Pengarah Kanan, Bahagian Standardisasi

Jabatan Standard Malaysia